25 Februari 2011

Cinta Dari Istana - Adah Hamidah

Terbitan: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Harga: RM23.90/RM26.90

Sinopsis:
Melangkah lamunan membilang bahagia... Detik itu apa maknanya?

Bukan kehendaknya melangkah keluar dari istana. Tapi dia terpaksa, maka diikutkan juga langkah kaki. Lalu takdir membawanya ke pintu pagar rumah seorang rakyat biasa.

“Okey, Piya. Tapi awak tak rasa ke yang awak ni terlalu muda untuk jadi pengasuh kepada seorang budak perempuan?” Ra’if Arjuna mengasak soalan.

Pengasuh? Tatkala itu bermulalah episod penyamaran, pendustaan yang terpaksa direncanakan oleh Puteri Mahkota Nur Shaafiah demi melindungi identiti diri. Menjadi seorang pengasuh anak kecil atau lebih tepat lagi orang gaji di rumah rakyat biasa itu merupakan satu penderitaan jiwa buat sang puteri. Dia tidak tahu membezakan apa itu senduk dan sudip, jadi bagaimana dia mahu menguruskan semuanya? Mujur saja dia bijak bermain dengan situasi sehingga dia kerap kali terselamat daripada bala yang dicipta tuan rumah, Ra’if Arjuna, duda beranak satu itu.

Bila hati disapa cinta, sang puteri mula menyangkal rasa. Mana mungkin puteri raja sepertinya jatuh cinta kepada rakyat biasa. Pantas dia menolak kata hati. Namun dia tewas pada perasaan cinta dan kasih sayang yang kian bersemi. Misi menawan hati Ra’if Arjuna tidak semudah disangka. Riaknya seperti suka, namun lafaz tidak pernah bersuara membuatkan sang puteri terus-terusan cuba mentafsir hati rakyat yang kerasnya mengalahkan tembok-tembok istana.

Apakah penyudahnya? Haruskah sang puteri melupakan saja atau haruskah terus mengejar cintanya? Atau mungkinkah tiada siapa yang mampu mengubah hakikat kenyataan bahawa tempat sang puteri tetaplah di istana, bukannya di teratak rakyat biasa!

Memangkah mimpi menghitung gembira... Detik itu cinta maknanya!

Komen:
Berbunga-bunga baca BCH daripada Adah Hamidah, jadi kenalah juga baca yang seterusnya ni kan. Cinta Dari Istana, macam BCH, memang ada scene-scene kelakar lucu dia. Tambah bila kenangkan kedunguan Piya yang tak berapa nak kenal dengan perkakas rumah atau waktu Ra'if Arjuna dengan muka toya kenakan Piya. Memang enjoy. Cumanya... entah kenapa saya suka lagi sentuhan pertama Adah Hamidah. Secara peribadilah. Tapi, Cinta Dari Istana tetap enjoy. Memang tak rugi bacanya sebabkan tergoda dengan BCH. Hehehe...

12 Februari 2011

Biarkan Cinta Hadir - Adah Hamidah

Terbitan: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Harga: RM23.90/RM26.90

Sinopsis:
Sayang Camalia ~ Di alam universiti dia sendiri tidak menyangka bahawa diri akan jatuh cinta. Lebih-lebih lagi dengan lelaki sebegitu rupa. Hakikatnya, itulah cinta. Tidak perlu dipaksa kehadirannya. Namun, kekurangan yang ada pada dirinya menyebabkan dia hanya menyimpan cinta itu dalam hati.

Mungkinkah cinta lelaki itu miliknya? Atau dia harus menerima kehadiran lelaki lain, tanpa ada cinta? Membuang cinta yang mekar di hati umpama belati yang menikam diri. Namun, menerima cinta daripada insan yang tidak dikasihi juga amat memeritkan hati. Jadi, jalan mana yang harus dia pilih?

Syukur Razlan ~ Dia kehilangan identiti sebenar diri hanya kerana satu sebab, lalu dia nekad untuk terus hidup dalam alam ciptaannya. Dia tidak peduli dengan segala tomahan orang lain. Yang penting, dunia ciptaanya itu membahagiakan. Namun rasa cinta yang terbit di hati gagal menidakkan naluri seorang lelaki yang telah lama disembunyikannya.

Fitrahnya, dia mendambakan seorang wanita di sisi, tapi dia berdiam diri kerana jalan hidup yang dilaluinya tidak memungkinkan wanita yang disayanginya itu memilih dirinya. Antara sejarah yang memeritkan diri dan cinta yang subur di hati, dia harus berhadapan dengan kedua-duanya. Mungkin perubahan adalah jalan terbaik, tapi adakah dia sanggup?


Komen:
Biarkan Cinta Hadir karya Adah Hamidah yang memaparkan kisah dua remaja yang mengalami kecelaruan gender, amat menarik minat saya. Dalam buku ini, secara tak langsung membuat saya terfikir akan perasaan yang dialami oleh watak-watak yang diwujudkannya. Selain itu, Adah Hamidah bijak mencari ruang untuk menyelit adegan-adegan lucu untuk menarik minat para pembaca. Terdapat banyak adegan-adegan yang mencuit hati di dalam kisah ini. Di dalam buku ini juga, Adah Hamidah ada menunjukkan hubungan persahabatan antara Syu dan Mal yang mana ada kalanya tidak sependapat dan sebagainya. Di sini, saya seolah-olah dapat merasa hubungan akrab antara kedua-dua watak ini. Kesimplannya, Biarkan Cinta Hadir, memang best. Tahniah, Adah Hamidah.