30 Januari 2011

Lagu Cinta Buatmu - Qaseh Qaisara

Terbitan: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Harga: RM19.90/RM22.90

Sinopsis:
Dalam menanti saat bahagia, tunang Daniel, Nadia mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan mereka. Demi menyelamatkan maruah keluarga, Daniel terpaksa mencari jalan untuk meneruskan juga perkahwinan itu.

Anis terpaksa menjadi ‘pak sanggup’ apabila terpaksa menjadi pengganti pegantin perempuan buat Daniel. Demi sayangkan ibu tirinya, Anis akur.

Dua minggu usia perkahwinan mereka, masih tiada siapa yang ingin memulakan bicara. Sikap Daniel yang dingin menggusarkan hati Anis. Tidak tahu status sebenar dirinya. Sehinggalah satu kejadian yang memalukan Anis berlaku, bermulalah detik perkenalan antara Daniel dan Anis.

Sikap Daniel yang dingin dan serius kian berubah dari hari ke hari. Bibit-bibit cinta kian bercambah dalam diri masing-masing. Namun kemunculan Nadia, menguji kesetiaan perhubungan mereka. Menguji tahap kejujuran dan tahap kasih sayang yang mereka bina.

Berjayakan Anis mempertahankan haknya? Berjayakah Daniel mempertahankan cintanya? Benarkah lagu cinta telah bernada di hati mereka?


Komen:
Lagu Cinta Buatmu karya Qaseh Qaisara merupakan karya pertamanya yang saya baca. Pada mulanya saya tidak begitu teruja membaca buku ini. Mungkin sebab penulis masih menggunakan jalan cerita yang sudah biasa dibaca dan didengar. Tapi, setelah menyelak helaian demi helaian buku ini, nampaknya ia mampu membuat saya tertarik. Mungkin cara penyampaian yang santai dan diselitkan adegan-adegan yang mencuit hati antara Anis dan Daniel, membuatkan saya tak sabar untuk mengetahui kesudahan ceritanya walaupun sudah begitu yakin dengan kesudahannya. Lagu Cinta Buatmu juga, secara tidak langsung ada mengetengahkan isu rumah tangga yang mungkin boleh digunapakai oleh mereka yang baru menjalani kehidupan rumah tangga. Harap Qaseh Qaisara akan terus maju dalam penulisannya.

16 Januari 2011

Prince Charming - Ratu Bulan

Terbitan: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Harga: RM19.90/RM21.90

Sinopsis:
Dia hidup bukan kerana cinta. Dia hidup kerana kehadiran Prince Charming yang menyelamatkannya. Semuanya gara-gara dia mengoyak Carta Prince Charming—carta misteri yang tiada sesiapa tahu dari mana datangnya. Yang pasti, memang dia langsung tidak percaya dengan sumpahan yang dikatakan berkaitan dengan Carta Prince Charming.

“Sumpahan puteri? Kau ingat ini cerita dongeng ke? Puteri apa yang nak sumpah aku ni? Puteri bunian? Puteri lindungan bulan?”

Desakan daripada Sofea membawanya ke Kelab Bola Sepak. Di situlah Prince Charming berkumpul. Tetapi hanya seorang sahaja Prince Charming yang dicari-carinya. Namun, untuk mencari Prince Charming bukanlah mudah, namun dia yakin, antara mereka, pasti salah seorang adalah penyelamatnya.

Orang tu pun satu! Dah selamatkan nyawa orang, tak reti-reti ke nak munculkan diri? Bukan ke lagi senang kalau datang berdiri depan aku dan cakap, Sayalah yang selamatkan awak daripada kena langgar semalam. Finish! Tak adalah nak panjangkan cerita sampai beratus muka surat semata-mata nak cari Prince Charming!

Antara Rezza, Fiq, Nazrul, Hayrul dan Najmi, siapakah Prince Charming yang sebenar? Atau, bukan dalam kalangan mereka? Ada apa dengan Carta Prince Charming? Siapa yang membuatnya? Apakah misteri di sebaliknya? Benarkah sumpahan itu benar?


Komen:
Seawal baca buku ni, sudah terasa bagaikan menonton drama Jepun atau Korea. Adegan-adegan yang cuba diperlihatkan, banyak menuju ke unsur-unsur itu. Baca buku ni, memang buat saya susah untuk letak. Kalau boleh, selagi tak habis, selagi tu nak terus baca, baca dan baca. Buku yang mengisahkan pencarian Nurul terhadap Prince Charmingnya ini, betul-betul berjaya menarik hati saya. Gelagat Nurul, Nazrul, Rezza, Fiq dan yang lain, seolah-olah hidup. Seolah-olah mereka semua melakonkan segalanya di hadapan mata (walaupun hakikatnya saya hanya membaca). Watak Nazrin yang dimunculkan sebagai watak lain bagi Nazrul juga, begitu berkesan sampai saya sendiri menyangka yang Nazrul dan Nazrin adalah orang yang berbeza. Kemunculan watak Nazrin juga, mampu mewujudkan unsur-unsur suspens dalam cerita ini. Apa-apa pun, cerita Prince Charming karya Ratu Bulan ini, memang seronok dibaca. Tahniah, Ratu Bulan.

01 Januari 2011

Manisnya Alunan Rindu - Nur Hazma

Terbitan: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Harga: RM20.90/RM23.90

Sinopsis:
Milya Khaleeda, dia gadis yang sangat setia. Bersama Haris, janji dipadu. Setia akan dipertahakan biarpun jarak dan masa memisahkan. Berjauhan bukan halangan untuk tidak berlaku setia.

Ilham Hambali, lelaki pesimis ini tidak percaya pada cinta. Alur hidupnya hanya benci untuk perempuan, dek sebuah kisah yang melukakan. Baginya cinta sekadar cakap kosong yang melekakan lelaki. Cinta membawa derita kepada lelaki. Lalu dia sedayanya menjauhkan diri daripada cinta. Menghindari daripada didekati cinta.

Aturan Allah menemukan keduanya dalam sengketa. Pertengkaran dan perbalahan seakan sebati dalam hari-hari Milya Khaleeda dan Ilham Hambali. Pertembungan mencetuskan pergeseran. Namun sebuah insiden membongkar kisah kasih Milya dan Haris. Gadis itu menjeruk rasa dek kecewa dan kelukaan cinta. Mencetuskan diari baru antara Milya dan Ilham. Bermulanya sebuah kisah yang sarat dengan dugaan yang sukar ditempuhi.

Menggapai bahagia bukan semudah tercetusnya perasaan kasih dan rindu yang membuai. Halangan yang berliku, bolehkah mereka lepasi? Kepulangan Haris dan cinta yang bertunas di hati Ilani akankah menjenguk hati Milya dan Ilham?


Komen:
Sewaktu mula membacanya, perasaan awal aku buat aku terus semak-semak belakang novel ini. Taklah sebab nak tahu endingnya terus. Sebetulnya, memang nak tau, tapi nak tau mungkinkah Milya akan bersama dengan Haris. Sebabnya mudah, tak sukalah kalau Milya dengan Haris. Agaknya kalau boleh belek awal-awal dari kedai buku, memang dah buat. Walaupun Haris tu awalnya memang suka dan romantik habis, entah kenapa aku ada semacam rasa meluat pulak dengan dia. Walaupun dia tak buat dosa kat aku kan... Nasib kaulah, Haris!

Aku tak pernah baca novel Nur Hazma, ini yang first. Tapi aku suka sebab dalam MAR ada mood Melayu. Bukanlah aku nak kata novel lain tu tak, tapi mungkin sebab Nur Hazma ada bawa identiti macam tu dalamnya. Dan watak Ilham Hambali, walaupun dia keras hati dan macam bongkak di awalnya, tapi aku boleh faham kenapa dia jadi macam tu. Itu cara dia pertahankan hati dan diri dia, daripada terluka. Dan mulut dia... pergh, paling best scene Milya sampai tendang tayar kereta sebab tak tahan sabar dengan perangai dia. Hehehe. Banyak scene yang buat aku gelak-gelak dan aku memang enjoy novel ni, walaupun hujung-hujung nak habis tu macam sedih-sedihkan. Tapi itulah, nasib baik happy ending--aku tau lepas habis baca ya. Bukan lepas habis hendap!

Okey, jom baca semua, anak, ibu dan bapa. Beli satu famili, semua boleh baca!